HASNI SERU GOLONGAN MUDA ASAH BAKAT, POTENSI DIRI

JOHOR BAHRU, 8 September: Golongan muda khususnya mahasiswa perlu mengasah kebolehan, bakat dan potensi diri bagi turut serta dalam memacu pembangunan negeri ini setanding dengan negara jiran, Singapura.

Menteri Besar,Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, generasi muda adalah aset penting bagi Johor yang boleh digilap menjadi pemimin masa depan.

Menurut beliau, Johor sudah lama dianggap sebagai laman belakang bagi Singapura dan stigma itu boleh diubah jika bakat-bakat yang ada dalam kalangan generasi muda dan mahasiswa di negeri ini digilap dengan sebaik-baiknya.

“Kita tidak lagi mahu dianggap sebagai laman belakang negara jiran. Saya kira sudah sampai masanya Johor merancang, merencana dan membangunkan masyarakatnya. Saya amat yakin dan percaya terhadap kebolehan dan keupayaan anak muda Johor.

“Asahlah bakat yang ada, tunjukkan kebolehan dan juga keinginan serta kemahuan yang dapat membina kendiri dan juga dapat mengingkatkan potensi diri anda.

“Percayalah, anda merupakan aset yang penting untuk menjadikan negeri Johor ini bukan lagi laman belakang bagi Singapura, tetapi menjadi setanding dengan negara jiran kita itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Program Southern Volunteers Leadership (SVLP) di Savannah Hill Resort, dekat sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang.

Menteri Besar berkata, Johor antara negeri yang memberi sumbangan besar terhadap pembangunan negara.

“Justeru, amat penting supaya suara dan pandangan generasi muda di negeri ini diketengahkan.

“Maka, kita harus bangkit. Kita harus mempunyai suara yang jelas daripada orang muda Johor untuk menyuarakan apakah Hasrat dan potensi negeri ini serta bagaimana orang muda dapat memanfaatkan kehebatan negeri Johor ini,” katanya.

(Visited 9 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: