EJEN HARTANAH DIDAKWA TIPU LEBIH 40 MANGSA

EJEN HARTANAH DIDAKWA TIPU LEBIH 40 MANGSA

Oleh Abu Hanifah Muhamad

PASIR GUDANG – Hasrat seorang suri rumah untuk membuka restoran tidak kesampaian, apabila dia diperdaya ejen hartanah tiga tahun lalu.

Chia Moi Hon, 45, mendakwa wang simpanan miliknya berjumlah RM36,000 yang dikumpul sejak lima tahun lalu diserahkan kepada ejen hartanah secara tunai bagi pembelian rumah kedai di kawasan Tebrau pada 2018.

Ibu kepada dua anak berasal dari Gelang Patah itu memberitahu, dia sememangnya berhasrat untuk membuka kedai makan di kawasan tersebut bagi membantu keluarga menambah pendapatan.

“Saya menggunakan RM36,000 hasil wang simpanan sejak lima tahun lalu. Urus niaga mereka nampak meyakinkan pada awalnya apabila kami menandatangani dokumen perjanjian pembelian yang disahkan peguam dan disertakan setem hasil.

“Namun setelah tamat masa dijanjikan, proses pembelian tergantung. Ketika dihubungi, mereka banyak berdolak-dalik memberi 1,001 alasan. Sejak itu saya tahu saya telah diperdaya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat MCA Pasir Gudang, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Bahagian Pasir Gudang, Lim Thow Siang dan Timbalannya, Ang Tun Chek.

Mangsa lain, Teng Mong Boom, 45, mendedahkan ditipu selepas menyerahkan deposit RM24,000 kepada seorang ejen hartanah terbabit bagi pembelian lot kedai setingkat yang ditandatangani pada 2018 di kawasan sama.

Dia berurusan dengan ejen berkenaan selepas tertarik dengan iklan dalam Facebook dan terus menghubungi mereka sebelum membuat pembayaran deposit secara tunai.

“Lot kedai yang ditawarkan itu boleh dikatakan murah jika dibandingkan dengan lot kedai lain yang boleh mencecah RM1 juta. Sebab itu, saya menggunakan khidmat mereka bagi tujuan meluaskan perniagaan barangan elektrik,” katanya.

Namun setelah setahun berlalu, mereka senyap begitu sahaja dan dia pernah menghubungi pengurus ejen hartanah yang dikenali sebagai Janon pada bulan lalu dan berjanji akan mengembalikan duit deposit itu tetapi hingga sekarang tiada khabar berita.

Begitu juga Lau Chin Chiang, 45, yang turut ditipu selepas membayar RM43,000 untuk membeli lot kedai perniagaan tetapi senyap begitu sahaja sebelum bersama-sama Mong Boon membuat laporan di Balai Polis Johor Jaya baru-baru ini.

Dalam pada itu, Thow Siang berkata, Janon dipercayai telah memperdaya lebih 40 individu bagi membeli lot kedai dan rumah dengan nilai kerugian hampir RM3 juta.

Katanya, taktik yang digunakan Janon ialah dengan memperkenalkan dirinya sebagai Ketua Persatuan Kepolisian Komuniti kawasan Johor Jaya bagi menunjukkan mempunyai hubungan baik dengan polis untuk meyakinkan mangsa.

“Saya yakin ramai di luar sana yang turut menjadi mangsa penipuan lelaki ini. Saya berharap mereka boleh tampil ke pejabat MCA Pasir Gudang atau menghubungi timbalan saya, Tun Chek di talian 0197720906,” katanya. – JT

(Visited 10 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: