CUBAAN SELUDUP LIMAU DARI SINGAPURA GAGAL

CUBAAN SELUDUP LIMAU DARI SINGAPURA GAGAL

JOHOR BAHRU – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) negeri mematahkan cubaan membawa masuk buah limau dianggarkan bernilai RM12,480 dengan menggunakan sebuah kereta di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini semalam.

Buah limau berkenaan dibawa sebuah kenderaan Mitsubishi Fuso dari Singapura ke Malaysia di laluan kargo import lori BSI pada pukul 1 petang.

Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A. Rahman berkata, semasa pemeriksaan Pegawai Penguat Kuasa Maqis menemukan limau berkenaan.

“Mereka mendapati terdapat limau mandarin jenis Honey Murcott seberat 1,248 kilogram (kg) di bahagian penyimpanan belakang kenderaan itu.

“Pemeriksaan juga mendapati buah-buahan itu tidak mempunyai permit import yang sah dan Sijil Fitosanitasi dari negara asal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemandu kenderaan berusia 47 tahun itu dipercayai membawa buah berkenaan untuk pasaran tempatan dan kegunaan sendiri.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana mengimport keluaran pertanian tanpa permit, lesen atau perakuan yang dikeluarkan di bawah akta itu.

Jika disabitkan kesalahan katanya, boleh dihukum mengikut Seksyen 11 (3) Akta yang sama, iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

“Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan akan terus diperkasakan lagi di semua pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” katanya. – JT

(Visited 3 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: