ISKANDAR PUTERI – Cubaan seorang pemandu lori untuk mengeksport ikan kerapu dan tenggiri tanpa permit ke Singapura gagal apabila berjaya dihidu Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah semalam.

Semasa pemeriksaan pada pukul 1 pagi, pegawai penguat kuasa yang melakukan pemeriksaan rapi menemukan ikan-ikan itu diletakkan bersama-sama ikan yang mempunyai permit eksport.

Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A. Rahman berkata,
pemilik lori tersebut telah menyorokkan ikan kerapu seberat 56 kilogram (kg) dan ikan tenggiri 225 kg.

“Ikan-ikan tersebut yang tidak diikrarkan disorokkan di tempat menyimpan barang bersama-sama tong ikan lain yang mempunyai permit dengan berat keseluruhan sebanyak 281 kilogram yang bernilai RM7,004.

“Kesemua dagangan tersebut ditahan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 11(2), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *