CONTOHI KETEGASAN KETUA POLIS JOHOR

JOHOR BAHRU – Pasukan keselamatan dan agensi penguat kuasa perlu mencontohi keberanian dan ketegasan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam menjalankan tugas serta tanggungjawabnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri berkata,
terutama kesungguhan dan ketegasan Ayob Khan dalam memerangi kegiatan jenayah.

Beliau berkata, cara kerja Ayob yang tiada kompromi itu akan menjadikan Johor sebuah negeri lebih selamat dan mencapai tahap pengurusan bermutu tinggi.

“Tahniah kepada Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay atas kejayaan dalam memerangi jenayah serta kegiatan negatif sejak menyandang jawatan pada Mac tahun ini.

“Tindakan menangkap dalang dalam sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATl) di Johor baru-baru ini antara contoh yang jelas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 4 Jun lalu polis Johor menangkap 40 suspek utama yang menjadi dalang penyeludupan migran di pantai timur Johor melibatkan ejen mengurus keluar masuk migran, menguruskan pengangkutan, tekong darat, tekong laut dan penjaga rumah penampungan.

Susulan itu 23 pegawai dan anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua ditahan dari 13 hingga 18 Jun lalu disusuli serbuan pada 23 dan 25 Jun lalu kerana bersekongkol dengan sindiket penyeludupan migran dan dadah.

Menurut Mohd. Solihan, Ayob yang sebelum ini menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman sememangnya seorang yang tegas tetapi mudah dihubungi.

Beliau juga sering hadir dalam program kerajaan negeri dan kehadirannya menunjukkan polis bersama-sama rakyat dalam membangunkan negeri.

“Saya sebagai pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Johor juga sedia bekerjasama dan memerlukan sokongan beliau dalam aktiviti berkaitan,” ujarnya. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *