AHLI GENG 21 DIBURU, TERLIBAT KES TEMBAK

AHLI GENG 21 DIBURU, TERLIBAT KES TEMBAK

JOHOR BAHRU: Polis Johor sedang mengesan seorang ahli Geng 21 berhubung kes samun, cuba bunuh dan melepaskan tembakan dalam kejadian di hadapan Pangsapuri Permai Plentong, 8 Mac lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata suspek, B Sarjit Singh, 23, beralamat di Kampung Sungai Plentong dicari kerana melakukan kesalahan di bawah seksyen 307 kanun keseksaan dan seksyen 3 akta senjatapi (penalti lebih berat) 1971.

Katanya, dalam kejadian jam 8.30 malam itu, empat mangsa berusia 19 hingga 28 tahun cuba dirompak dan ditembak oleh tiga penjenayah Geng 21 yang bersenjatakan pistol.

“Modus operandi digunakan kumpulan ini, melanggar belakang kenderaan dinaiki mangsa sebelum turun dan melepaskan lima das tembakan, yang mana satu daripadanya menembusi paha kanan salah seorang mangsa.

“Namun dalam kejadian itu suspek gagal memperoleh sebarang harta milik mangsa.

“Susulan itu, pasukan siasatan khas ditubuhkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, dibantu JSJ Bukit Aman bagi
mengesan suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata, 10 September lalu, tujuh lelaki tempatan berusia 23 hingga 44 tahun yang juga ahli kumpulan Geng 21 ditangkap di beberapa lokasi sekitar wilayah Iskandar Puteri.

Tiga daripada mereka katanya, sudah didakwa di mahkamah yang mana dua daripada suspek dituduh di bawah seksyen 3a akta senjatapi (penalti lebih berat) 1971, manakala seorang lagi suspek berusia 36 tahun disiasat di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Ayob Khan berkata, suspek yang ditahan bawah POCA mempunyai sembilan rekod jenayah lampau berkaitan culik, dadah, perjudian dan kegiatan jenayah lain.

Katanya Geng 21 adalah lapan geng kongsi gelap yang aktif di Johor yang mana, lima daripadanya adalah geng Cina dan tiga geng India. – BH

(Visited 3 times, 2 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: