ADUN PERMAS NAFI SERTAI PH

ADUN PERMAS NAFI SERTAI PH

Oleh Abu Hanifah Muhamad

PASIR GUDANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd. Salleh menafikan beliau menyertai Pakatan Harapan (PH).

Beliau turut menafikan akan mengikut Datuk Osman Sapian sekiranya bekas Menteri Besar Johor itu melompat parti dan menyokong PH.

Sebagai ADUN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) beliau akan terus memberikan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Ini (dakwaan beliau akan keluar parti dan mengikut Osman menyokong PH jika dipecat daripada Bersatu) khabar angin sahaja. Kerajaan PN sudah memerintah negeri ini dengan baik, buat apa kita nak tukar.

“Rakyat Johor pun kita lihat sudah suka dengan petadbiran kerajaan PN. Tuduhan bahawa saya akan lompat parti adalah fitnah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Permuafakatan Penduduk di Flat Geharu, Taman Rinting di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berpendapat tiada keperluan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada ketika ini.

Katanya, tumpuan perlu diberikan terhadap usaha memberi bantuan dan menjaga kebajikan rakyat yang terjejas akibat COVID-19.

“Namun, sekiranya Menteri Besar Johor sudah mendapat perkenan Sultan Johor untuk membubarkan DUN dan merasakan ini jalan terbaik, Bersatu sudah bersedia untuk menghadapi PRN atau Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya.

Sementara itu, beliau meminta Lembaga Disiplin Parti Bersatu supaya menyiasat terlebih dahulu dakwaan terhadap Osman sebelum memecatnya sebagai ahli parti.

Langkah itu bagi memberi keadilan kepadanya selepas didakwa berkempen menyokong calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Perak baru-baru ini.

“Janganlah terus pecat beliau macam tu sahaja, ini tidak adil kepada Datuk Osman, Lembaga Disiplin Bersatu perlu menyiasat dakwaan terhadapnya termasuk memanggil beliau sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Lembaga disiplin parti perlu tanya pandangan Datuk Osman tentang apa yang diperkatakanya iaitu semasa berceramah di sebuah kedai makan bahawa Bersatu sudah beralih arah daripada hala tuju penubuhan awalnya,” katanya. – JT

(Visited 14 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: