JOHOR BAHRU – Enam lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini hari ini atas tuduhan bergaduh dan merusuh di sebuah kedai makan di Forest City, Gelang Patah pada 23 Ogos lalu.

Empat daripada mereka, iaitu M. Tishan dan K. Shakty masing-masing berusia 19 tahun, G. Yoganathan, 31, dan G. Suresnayar, 30, tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan.

Keempat-empat tertuduh dibenarkan diikat jamin RM2,500 ringgit setiap seorang selepas permohonan perbicaraan diterima.

Sementara itu, dua lagi rakan mereka mengaku bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim.

Dua yang mengaku salah ialah kerani kilang, R. Navin Kumar, 23, dan penyelia kilang, T. Subaraj, 19, tidak diwakili peguam, mereka dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,200.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama melakukan kesalahan merusuh menggunakan kerusi dan meja di sebuah kedai makan di Forest City, Gelang Patah pada pukul 8 malam, 23 Ogos lalu.

Kes didakwa dibawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama.

Tishan yang bekerja sebagai mekanik kereta dan Shakty sebagai penyelia kilang diwakili peguam R. Ramjahentherau.

Yoganathan dan Suresnayar yang tidak bekerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diwakili Datin Freda Sababatin bersama-sama Veeranesh Babu dan Foo Fang Leong.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norhayati Fatullah dan akan disebut semula 29 September ini. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *