6 LELAKI BERGADUH DITAHAN

JOHOR BAHRU – Polis Daerah Johor Bahru Utara menahan enam lelaki bagi membantu siasatan kes pergaduhan di sebuah kediaman di Tampoi, di sini Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superitendan Fariz Ammar Abdullah berkata, mereka yang tahan pada pukul 9 malam kelmarin berusia antara 21 hingga 36 tahun.

“Mereka ditahan kerana terlibat dalam satu kejadian pergaduhan melibatkan 12 lelaki pada jam 10 malam, Selasa lalu yang menggunakan parang, rotan dan kerusi plastik.

“Dalam kejadian itu seorang suspek berusia 33 tahun patah tangan, sebuah kenderaan Mercedez-Benz dirosakkan dan pagar automatik di pos keselamatan turut dirosakkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain menahan enam lelaki tersebut, polis turut merampas sebuah kereta yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Dengan tertangkapnya enam suspek tersebut pihak polis berjaya mengekang kejadian yang lebih buruk daripada berlaku. Hasil ujian air kencing mendapati mereka negatif dadah,” katanya.

Pihak polis masih mengesan enam lagi suspek yang terlibat dalam pergaduhan tersebut.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh, jika sabit kesalahan boleh dihukum lima tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, punca pergaduhan adalah disebabkan masalah dua rakan perkongsian perniagaan yang berselisih faham. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *