51 INDIVIDU SEDANG BERHIBUR DIKOMPAUN INGKAR PKP

JOHOR BAHRU – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSNJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor memeriksa 51 individu ditahan di sebuah premis hiburan di bandar raya ini awal pagi ini.

Menerusi serbuan pada pukul 2.30 pagi, semua pengunjung tersebut yang berusia 18 hingga 55 tahun itu diperiksa.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ujian saringan air kencing mendapati 19 individu positif dadah.

“Mereka terdiri daripada 12 lelaki dan lima wanita tempatan serta dua wanita warga Vietnam positif dadah jenis metamfetamin dan ketamin.

“Dua wanita warganegara Vietnam lagi disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun yang mengaku sebagai pengurus premis yang menjalankan perniagaan melebihi masa yang telah ditetapkan.

Ayob berkata, 51 individu berkenaan dikompaun RM1,000 kerana tidak mengamalkan penjarakan sosial ketika berada dalam premis itu.

Semua suspek akan direman bermula esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Johor (ENJ).

Mereka turut disiasat di bawah Seksyen Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.

Polis berharap masyarakat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah yang berlaku di sekeliling mereka dan sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *