509 PENAGIH TEGAR DISABIT DI BAWAH SEKSYEN 39C

509 PENAGIH TEGAR DISABIT DI BAWAH SEKSYEN 39C

JOHOR BAHRU – Seramai 509 penagih dadah tegar di negeri ini disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 sejak Januari lalu hingga kini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mereka merupakan penagih yang sudah tiga kali ditahan atas keselahan sama dan di bawah seksyen itu membawa hukuman lebih berat iaitu penjara lima tahun dan tiga sebatan.

Beliau memberitahu, polis Johor sejak April lalu menekankan tangkapan dan tindakan di bawah seksyen berkenaan yang dilihat amat berkesan dalam menangani masalah penagih berulang.

“Sebelum ini, sekitar Januari dan Februari lalu, jumlah penagih berulang yang polis Johor tangkap amat sedikit iaitu antara 10 dan 15 orang sahaja tetapi mulai April lepas, kita beri penekanan terhadap tangkapan terhadap penagih berulang di bawah Seksyen 39C ini.

“Seksyen ini bukan sahaja menjadi senjata ampuh memerangi dadah tetapi juga berjaya mengurangkan kadar jenayah seperti ragut, samun dan rompak kerana perbuatan itu saling berkait dengan penagih,” katanya selepas Majlis Perasmian Penyelarasan Tugas dan Projek Rintis Menangani Masalah Penyalahgunaan Dadah Substan dan Pelencongan Sosial di Dewan Tan Sri Mohamed Rahmat, Tampoi, di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.

Ayob Khan berkata, seramai 14,000 penagih dadah ditangkap dalam tahun ini setakat ini dan 10 peratus daripadanya dikesan kembali menagih.

Menurutnya, mereka yang kembali menagih itu antara sebabnya pelbagai dadah jenis baharu yang memberi kesan berbeza daripada dadah biasa termasuk tahap bahayanya.

Ketika ini katanya, peningkatan permintaan terhadap dadah jenis metamfetamin serta dadah psikoaktif jenis baharu atau New Psychoactive Substances (NPS) di pasaran Asia yang menjurus kepada pembabitan belia.

“Pada tahun 2009, terdapat 130 jenis dadah termasuk NPS, namun pada tahun 2019, terdapat peningkatan iaitu sebanyak 892 jenis dadah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis sedang mengesan pengedar yang membekalkan dadah kepada pelajar sekolah menengah selepas 177 pelajar di Johor dalam tahun ini didapati positif dadah.

Ayob Khan berkata, keterangan daripada mereka yang terlibat iaitu pelajar Tingkatan Empat dan Lima sedang diambil bagi menjejaki pihak yang membekalkan dadah kepada pelajar sekolah.

“Kita juga sedang menyiasat adakah mana-mana pihak atau sindiket dadah yang menyasarkan pelajar sekolah sebagai penagih yang baharu. Mereka yang terlibat semuanya pelajar lelaki dan hanya seorang pelajar perempuan.

“Saya percaya Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan memperluaskan dan melakukan ujian saringan di sekolah secara berterusan. 19 daripada 177 pelajar itu didapati sudah pulih daripada ketagihan dadah,” katanya.

Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, baru-baru ini mendedahkan seramai 177 pelajar sekolah dikesan terlibat dengan gejala penagihan dadah di negeri ini menerusi ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap 10,132 pelajar di 280 buah sekolah oleh AADK.

Mazlan mengingatkan pihak sekolah agar tidak menyembunyikan sebarang maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah membabitkan pelajar mereka daripada pihak bertanggungjawab yang melakukan siasatan. – JT

(Visited 3 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: