5 ADUN BERSATU IKRAR SETIA BERSAMA PN

Oleh Abu Hanifah Muhamad

JOHOR BAHRU – Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berikrar setia menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor pimpinan Datuk Ir. Hasni Mohammad.

Ikrar taat setia itu dizahirkan oleh ADUN Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd. Salleh; ADUN Sedili, Rasman Ithnain; ADUN Johor Lama, Rosleli Jahari; ADUN Endau, Alwiyah Talib dan ADUN Larkin, Mohd. Izhar Ahmad semasa menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, semalam.

“Kami berlima memohon menghadap Sultan Ibrahim dan Tuanku berkenan untuk menerima kami menghadap.

“Dalam pertemuan itu, kami menyatakan kepada baginda bahawa kami menyokong kerajaan sedia ada dan tidak akan berubah arah kepada parti lain,” kata Che Zakaria ketika dihubungi, di sini hari ini.

Polemik politik Johor kembali hangat apabila terdapat ura-ura beberapa ADUN Bersatu termasuk bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian dikatakan bakal meninggalkan parti dan kembali menyokong Pakatan Harapan (PH).

Kerajaan PN Johor memiliki 29 kerusi, manakala pakatan pembangkang, 27 kerusi.

Seandainya terdapat seorang ADUN PN beralih arah kepada pembangkang, kedudukan DUN Johor akan tergantung. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *