JOHOR BAHRU – Seramai 20 orang ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Ops Ambang Merdeka yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor di sekitar bandar raya malam tadi.

Operasi itu yang bermula jam 11 malam hingga 4 pagi ini melibatkan 21 pegawai dan 167 anggota polis.

Ketua JSPT Johor, Superintendan M. Kumarasan berkata, 11 orang yang berusia 20 hingga 50 tahun ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan disiasat di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Selain itu tujuh tangkapan berumur 15 hingga 22 tahun ditahan bagi Ops Samseng Jalanan (OSJ) di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987 kerana melakukan aksi berbahaya di jalan awam.

“Dua lagi tangkapan berumur 43 dan 57 tahun di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 setelah ujian air kencing mendapatinya positif dadah jenis methafetamin,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, sebanyak 589 saman dikeluarkan sepanjang operasi berkenaan melibatkan pelbagai kesalahan seperti tiada lesen, mengubah suai kenderaan dan nombor pendaftaran serta kesalahan lain.

Sementara kenderaan yang di sita pula berjumlah 74 buah melibatkan pelbagai jenis kenderaan, katanya.

Beliau berkaya, operasi berkenaan dilakukan
sempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-63 selain memastikan aliran trafik bergerak lancar dan terkawal semasa cuti umum.

Objektif utama operasi berkenaan katanya, adalah memastikan sambutan Hari Kebangsaan tidak dicemari dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat seperti lumba haram, memandu dalam pengaruh alkohol, penyalahgunaan dadah dan kesalahan lain yang berkaitan undang-undang jalan raya.

“Ini juga secara tidak langsung mencegah daripada berlakunya kemalangan jalan raya dan kejadian jenayah,” katanya.

Menurutnya, penugasan sekatan jalan raya (SJR) di lokasi hot spot dan terancang yang menyasarkan pemandu mabuk dan hasil risikan maklumat daripada Skuad 42 bagi aktiviti samseng jalanan.

Sementara itu, beliau memberitahu, statistik operasi dan tangkapan JSPT Johor bagi bulan ini melibatkan 66 operasi dan 112 tangkapan.

Katanya, sepanjang tempoh berkenaan, 45 Ops Mabuk dilakukan dengan 72 tangkapan dan 21 OSJ dilakukan dengan 40 tangkapan. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *