2 PENIAGA DITAHAN SPRM RASUAH PENGUAT KUASA

KLUANG – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Kluang hari ini menahan dua peniaga pasar awam kerana memberi rasuah kepada seorang penguat kuasa di daerah ini.

Kedua-dua suspek yang berusia 37 dan 59 tahun yang berniaga di Pasar Awam Kluang ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Kluang sini pada pukul 3.30 petang bagi membantu siasatan.

Siasatan mendapati mereka memberi wang rasuah kepada Pembantu Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK) berjumlah RM500 dan RM1,000.

Wang itu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan atas kesalahan melanggar syarat lesen dengan menggajikan warga asing di pasar awam tersebut di bawah Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976, kadar kompaun bagi kesalahan itu berjumlah RM1,000.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *