KULAI – Polis berjaya memberkas dua lelaki yang melakukan pecah masuk sebuah rumah di Jalan Bangau 13, Bandar Putra di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, tangkapan itu dibuat selepas membuat laporan kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai pada pukul 3.10 petang.

“Susulan itu bertindak atas maklumat pihak polis melakukan serbuan pada pukul 6.50 pagi di tiga lokasi berasingan sekitar daerah ini.

“Hasilnya kita menahan dua suspek lelaki tempatan termasuk seorang mualaf, masing-masing berusia 46 dan 27 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, menerusi serbuan itu pihak polis merampas barang-barang kes disyaki hasil kegiatan pecah rumah seperti sebuah tab, tiga unit hard disk pelbagai jemana dan empat unit telefon bimbit pelbagai jenama.

Turut dirampas dua unit kamus digital; satu unit portable wifi, lima utas jam tangan pelbagai jenama, sepasang anting-anting Swarovski; dua komputer riba; dua set pakaian lelaki; dua rangkai kunci dan dua kenderaan.

Siasatan awal katanya, kedua-dua suspek mengaku terlibat kegiatan pecah rumah di kawasan Bandar Putra dan pengecaman barang-barang kes yang dirampas akan dilakukan mangsa.

Jelasnya, dua suspek berkenaan juga mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dan mereka direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan katanya, boleh dipenjara sehingga 14 tahun atau sebat bagi kesalahan bagi kali kedua. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *