124 DITAHAN INGKAR PKPP

JOHOR BAHRU – Polis dan Majlis Bandararaya Johor Bahru (MBJB) melakukan serbuan di dua pusat hiburan di sini malam tadi
kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi itu bermula pada pukul 11 malam di Jalan Harmonium, Taman Desa Tebrau dan Jalan Ibrahim Sultan, Stulang Darat.

Beliau memberitahu, seramai 124 individu ditahan berusia antara 20 hingga 55 tahun .

“Premis terbabit merupakan kali kedua diserbu atas kesalahan ingkar PKPP dan tiada penjarakan fizikal ketika berhibur.

“Ini merupakan kali kedua kita buat serbuan, pertama awal bulan Mac lalu kerana langgar syarat lesen, sepatutnya mereka tidak boleh jual atau hidang minuman beralkohol.

“Yang keduanya, tidak ada penjarakan fizikal antara pelanggan ini sudah melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPP,” katanya ketika ditemui dalam operasi itu.

Katanya, siasatan awal mendapati premis terbabit sudah membuat permohonan lesen untuk membenarkan mereka menyediakan minuman keras namun masih tidak diluluskan.

Beliau yakin banyak lagi premis yang masih berdegil beroperasi dan melanggar syarat sah lesen selain tidak menguatkuasakan SOP PKPP.

Beliau berkata, polis Johor dan MBJB serta pihak berkuasa tempatan (PBT) lain akan terus melakukan operasi agar premis-premis hiburan mematuhi syarat lesen serta penjarakan fizikal. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *