KLUANG – Malang tidak berbau apabila seorang warga emas yang sedang bersiar-siar mengambil angin malam maut apabila terjatuh dalam longkang depan rumahnya di Taman Desa di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 9.43 malam, Patimah Osman, 73, yang menggunakan kerusi roda, dipercayai tergelincir lalu terjatuh dalam longkang yang sedalam hampir 1 meter.

Sebelum terjatuh, mangsa yang berada di luar rumah meminta air untuk diminum daripada seorang ahli keluarga yang menemaninya ketika itu.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Akob Sidek berkata, semasa ahli keluarganya mengambil air, wanita itu dipercayai terjatuh dalam longkang tanpa disedarinya.

Susulan itu katanya, 12 anggota dengan satu jentera Fire Rescue Team (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dihantar ke tempat kejadian.

“Mangsa dibawa naik dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan yang berada di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mangsa katanya, diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada jam 10.37 pagi. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *