TIGA BEKAS TENTERA TERIMA SUMBANGAN KPJ, ECONSAVE

BATU PAHAT – Sempena Bulan Kemerdekaan yang ke-63, Hospital Pakar KPJ Johor dengan kerjasama Pasaraya Econsave mengadakan Program Ziarah Pejuang di daerah ini dan Kluang hari ini.

Tiga bekas angota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terpilih dalam program tanggungjawab sosial korporat Hospital Pakar KPJ Johor itu sebagai menghargai jasa dan pengorbanan bekas anggota ATM dalam menjaga keselamatan negara.

Tiga penerima itu ialah Nordin Hussin, 88, dari Senggarang, Jalan Parit Kemang di sini selain Ahmad Adnan, 77, dan Ahmad Sapuan Yakub, 77, dari Taman Ria Sri Lalang, Kluang.

Mereka dipilih kerana pernah berkhidmat sebelum kemerdekaan dan menerima beberapa pingat darjah kebesaran ATM sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Johor, Mohd Azhar Abdullah, program itu dilaksanakan atas dasar keprihatinan dan bagi memperingati jasa para pejuang yang mempertahankan negara sebelum mendapat kemerdekaan.

“Dalam program ini kita turut menyumbangkan alat bantuan kesihatan sokongan seperti tiga unit kerusi roda , tiga unit tongkat empat kaki serta pakej kesihatan kepada penerima sumbangan.

“Ini termasuk menerima sumbangan barangan keperluan hasil kerjasama dengan Pasaraya Econsave,” katanya ketika ditemui.

Turut hadir Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (ATM), Mejar Hairi Mohd Radzi dan Pengurus Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam.

Mohd Azhar berkata, bagi menaikkan semangat patriotik sempena bulan kemerdekaan, Hospital Pakar KPJ Johor turut mencipta replika kereta kebal ATM yang dipamerkan di ruangan lobi hospital berkenaan.

Jelasanya, usaha itu sebagai tanda inspirasi petugas hospital untuk berkerja keras dalam menjamin kesihatan para pesakit dan bersama-sama dalam usaha memerangi wabak koronavirus (Covid-19).

Sementara itu, Nordin mengingatkan generasi muda supaya menghargai keamanan dan kerharmonian yang dikecapi pada hari ini dan tidak persiakan kemerdekaan yang dinikmati kerana perjuangan untuk mendapatkannya memerlukan pengorbanan besar.

Beliau yang menyertai pasukan tentera british pada 1954 sehingga 1958 di Singapura berkata, Tanah Melayu pada zaman daruat mengalami huru-hara dan masyarakat hidup dalam ketakutan apabila komunis menyerang negeri ini.

Mengimbas kembali, Nordin tidak dapat melupakan peristiwa tentera komunis menyerang orang awam dengan membakar sebuah bas di Segamat.

“Pada awalnya saya pelik kenapa orang ramai berjalan kaki di tepi jalan. Tidak berapa lama selepas itu saya melihat sebuah bas telah dibakar oleh tentera komunis.

“Saya bersyukur dan bernasib baik bas yang saya naiki tidak diserang dan dibakar komunis. Pada zaman itu bekalan makanan amat sukar untuk didapati dan hanya makan hasil tanaman di sekitar rumah,” katanya.

Bercerita lanjut, beliau berkata, penduduk hanya hanya keluar rumah pada waktu siang sehingga pukul 2 petang kerana keadaan berbahaya.

Pesannya, generasi muda perlu bersyukur dapat hidup bebas dan aman harmoni tanpa sebarang kekacauan selain perlu berterima kasih kepada semua pejuang negara dalam memdapatkan kemerdekaan dan memajukan negara ini. – JT

(Visited 15 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: