#SOULofJOHOR – @POLISJOHOR TUMPASKAN KUMPULAN BOBBY

JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang dikenali sebagai Kumpulan Bobby yang didalangi rakyat tempatan dan warga asing tumpas dalam 10 serbuan di Seri Alam dan sekitar bandar raya ini sejak Isnin hingga Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ahli kumpulan itu dicekup dalam operasi yang dilakukan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sebuah pusat hiburan di Permas Jaya, di sini.

Beliau berkata, dalam operasi kira-kira jam 1.30 pagi itu polis berjaya menahan tiga lelaki tempatan, lima wanita tempatan dan dua wanita warga asing bersama-sama dadah.

“Soal siasat terhadap suspek mendedahkan dalang di sebalik sindiket itu, warga tempatan dikenali sebagai Bobby dan teman wanitanya, seorang warga Vietnam.

“Polis juga berjaya mengesan seorang wanita warga China, iaitu pengedar dadah sindiket berkenaan yang beroperasi di sekitar Taman Century. Sindiket itu mendapatkan bekalan dadah dari Kuala Lumpur sebelum diedarkan di Johor Bahru,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Susulan serbuan pertama pada Isnin lalu, polis berjaya membuat empat serbuan susulan di kawasan Pasir Gudang, Permas Jaya, Seri Alam, Iskandar Puteri manakala lima lagi dilakukan di sekitar bandar raya ini.

“Seramai 24 suspek membabitkan 11 lelaki tempatan, lima wanita tempatan, seorang lelaki warga Singapura, tiga wanita warga Indonesia, dua wanita warga China dan dua wanita warga Vietnam yang berusia antara 16 hingga 61 tahun berjaya ditahan, ” katanya.

Ayob Khan memberitahu, polis berjaya merampas 1.89 kilogram (kg) ketamin; 2.3 kg serbuk ecstasy; 895.52 gram ganja; 2,469 pil ecstasy; 859 pil Erimin 5; 31.81 gram syabu; 2.01 gram heroin dan dua biji pil Yaba bernilai RM425,571, hasil 10 siri serbuan.

“Polis juga berjaya merampas pelbagai barang kemas bernilai RM32,956; dua kenderaan (RM214,000); wang tunai RM7,000; wang tunai dolar Amerika USD500 (RM2,100); wang tunai Yuan $6,000 (RM3,625) dan wang tunai dolar Singapura $420 (RM1,287) selain lima akaun bank tempatan berjumlah RM30,234 hasil kegiatan pengedaran dadah.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta membawa nilai RM712,452,” katanya.

Ayob Khan berkata, seramai 19 suspek didapati positif dadah dengan lapan suspek termasuk warga Singapura mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah di negara ini dan republik itu.

(Visited 36 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: