#SOULofJOHOR – KERAJAAN NEGERI JOHOR MENUBUHKAN MAJLIS DIGITAL JOHOR @Hasni_Johor

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor akan menubuhkan Majlis Digital Johor bagi menjayakan aspirasi dan hasrat dalam memiliki sebuah Digital Bank pada satu masa akan datang.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, selari dengan usaha kerajaan negeri dalam mengetengahkan budaya digital, masyarakat juga perlu mempunyai gaya hidup dan menggunakan segala aspek digital sebagai gaya hidup seharian mereka.

“Kempen Johor E-Marketplace menjadi antara inisiatif kerajaan negeri dalam membantu rakyat khususnya golongan usahawan untuk terus maju menerusi perniagaan secara dalam talian, terutama dalam menghadapi cabaran pasca COVID-19.

“Kempen Johor E-Marketplace ini juga adalah penanda aras penerimaan rakyat di seluruh negara terhadap produk Johor, selain golongan usahawan perlu bersikap lebih proaktif dalam menyediakan diri untuk lebih berdaya saing, katanya dalam majlis perasmian Johor E-Marketplace di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, hari ini.

Menurut beliau, usaha berkenaan tidak akan berjaya jika usahawan tidak memainkan peranan dalam memastikan perniagaan yang diceburi mempunyai tahap kemampanan menerusi pembentukan pelan tindakan pembangunan perniagaan (business blueprint) yang jelas dan mempunyai visi.

“Johor E-Marketplace diyakini mampu memberikan impak positif dan memacu pertumbuhan ekonomi apatah lagi negeri ini antara kuasa baharu ekonomi Malaysia selain kedudukan strategik, termasuk berjiran dengan sebuah negara maju, Singapura.

“Kerajaan negeri menerusi anak syarikat kumpulan Permodalan Darul Ta’zim (PDT), iaitu Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) bersama-sama dengan Shopee Malaysia menjalin kerjasama strategik untuk melancarkan kempen Johor E-Marketplace menerusi platform e-dagang Shopee, katanya.

Tambah beliau, kempen yang akan berlangsung daripada 9 Ogos hingga 31 Disember depan itu adalah sebuah laman mikro khas yang menampilkan puluhan ribu produk hasil buatan peniaga Johor dalam pelbagai kategori seperti makanan ringan, fesyen serta peralatan rumah.

“Usaha ini bakal memberi manfaat kepada lebih 3,000 usahawan di negeri ini serta jutaan pengguna platform e-dagang Shopee,” katanya.

(Visited 20 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: