JUARA Liga Super enam musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) kemungkinan besar terpaksa melupakan khidmat kapten pasukan, Hariss Harun pada aksi liga yang akan bersambung 26 Ogos ini.

Kelibat pemain antarabangsa Singapura yang tidak kelihatan pada sesi latihan sejak dibenarkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada 17 Jun lalu menimbul tanda tanya peminat bola sepak JDT.

Difahamkan Hariss mengalami kecederaan lutut yang mungkin mengambil tempoh lama untuk pulih dan kemungkinan terpaksa melupakan saingan liga yang membabitkan tujuh perlawanan.

Malah belum pasti sama ada dia boleh beraksi pada saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang akan bersambung Oktober ini.

Kelibat Hariss tidak diturunkan pada aksi skuad Harimau Selatan menentang Felda United yang menyaksikan kedua-dua pasukan seri 1-1 pada 14 Mac lalu sebelum semua aksi saingan liga ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

Skuad bimbingan Benjamin Mora akan kembali beraksi menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, 26 Ogos ini dan kemudian akan kembali beraksi di Stadium Sultan Ibrahim apabila melayani kunjungan Perak pada 1 September.

Yang pasti, dua pertembungan itu bakal menguji kekuatan mental anak didik Mora yang perlu konsisten untuk berdepan barisan pemain Dollah Salleh dan Mehmet Durakovic tatkala dua kemenangan itu amat ditagih bagi memastikan kedudukan tangga teratas liga tidak terancam dalam pemburuan untuk muncul juara liga elit domestik tujuh musim berturut-turut menjadi agenda utama kelab berkenaan.

Apapun, JDT tidak boleh pandang remeh baki lima perlawanan lagi ketika aksi di laman sendiri membabitkan dua perlawanan sahaja apabila berdepan Selangor, 9 September dan Sabah pada 18 September.

Manakala tiga aksi lagi di gelanggang lawan tampak berliku apabila menentang Terengganu FC pada 5 September diikuti Petaling Jaya City FC, 13 September sebelum melabuhkan tirai saingan liga apabila berkunjung ke Stadium Hang Jebat menentang Melaka United pada 22 September. – HM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *