JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, Kulai Iskandar Data Exchange (Kidex) yang dibangunkan di tapak seluas 301 hektar di Sedenak mampu menarik pelaburan berjumlah RM17.5 bilion.

Jelas beliau, Kidex yang dimajukan TPM Technopark Sdn Bhd (TPM Technopark), sebuah syarikat milik Johor Corporation (JCorp) akan menarik minat syarikat-syarikat berkaitan pengurusan data dan perkomputeran untuk melabur.

“Kidex yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2023 berjaya menarik minat pelabur dari dalam dan luar negara, terutamanya China, United Kingdom dan Jepun yang telah datang membuat tinjauan tapak.

“Kidex turut mempunyai kelebihan daripada segi sokongan logistik dan perhubungan yang cekap seperti Lebuhraya Utara-Selatan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) selain kedudukan strategik Johor sebagai jiran Singapura.

“Dijangka Kidex mampu menawarkan 1,600 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi maklumat termasuk pekerja separuh mahir dan sokongan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kidex adalah komponen dalam pembangunan Kulai Industrial Park (KIP) yang melibatkan kawasan seluas 2,950 hektar dan merupakan hab data
terkini di Malaysia dan dijangka menarik pelabur Revolusi Industri 4.0.

Pembangunan yang bercirikan kemampanan dan kelestarian itu akan mempunyai tenaga mesra alam melalui Ladang Solar (Solar Farm) dan Loji
Penghasilan Bersama (Co-generation Plant) sebagai sumber tenaga yang lestari.

Katanya, Kidex mampu menjadi katalis pertumbuhan industri data dan mengangkat Sedenak sebagai hab pusat data serantau pada masa depan.

Mengenai lawatan tersebut, beliau diberikan taklimat oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) yang memaklumkan bahawa Kidex adalah satu inisiatif bagi merealisasikan agenda pembangunan fizikal Bandaraya Pintar Iskandar Malaysia (BPIM).

Menurutnya, BPIM meliputi enam dimensi iaitu Tadbir Urus Pintar, Rakyat Pintar, Mobiliti Pintar, Alam Sekitar Pintar, Ekonomi Pintar dan
Kehidupan Pintar.

Tambahnya, infrastruktur perhubungan data yang kuat dan stabil sudah pasti akan memberi faedah kepada semua pemegang taruh di koridor ekonomi Iskandar Malaysia, kerajaan, sektor perniagaan dan rakyat.

“Usaha ini bukan sahaja membantu mencapai wawasan Iskandar Malaysia sebagai sebuah metropolis bertaraf antarabangsa yang kukuh dan mampan
malah merancakkan lagi agenda Digital Johor dan Rancangan Pembangunan Sistem Gentian dan Perhubungan di peringkat nasional,” katanya.

Hadir pada sesi taklimat itu Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia, Mohd. Izhar Ahmad; Exco Hal Ehwal Agama Islam, Tosrin Jarvanthi; Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim serta Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *