JOHOR BAHRU – Sebanyak 26 kedai runcit di sekitar bandar raya ini diserbu dan pelbagai jenis rokok seludup bernilai RM9.3 juta dirampas dalam operasi sejak awal bulan ini hingga kini.

Menerusi serbuan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan (IPD JBS) itu, 2,593 kotak rokok dan 692 karton rokok tanpa cukai dirampas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, seramai 30 lelaki, seorang wanita warga asing dan seorang lelaki tempatan ditahan.

“Kesemua saspek berumur lingkungan antara 20 sehingga 60 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, turut dirampas sebuah kereta Perodua MyVi dan sebuah Proton Wira yang dipercayai digunakan suspek untuk menyeludup dan mengedarkan rokok tanpa cukai tersebut.

Antara modus operandi kedai runcit itu berselindung di sebalik perniagaan menjual barangan keperluan harian.

“Semua rokok seludup tersebut dijual pada harga RM4.50 hingga RM9.50 sekotak,” katanya.

Semua suspek disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan boleh didenda 20 kali nilai rampasan dan penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Padzli berkata, IPD Johor Bahru Selatan melakukan Ops Noda di sekitar Johor Bahru Selatan malam tadi dan menahan 42 wanita pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terlibat dengan maksiat.

Menerusi serbuan itu dengan kerjasama Jabatan Imigresen Johor, beliau berkata, PATI yang ditahan itu terdiri daripada tiga wanita Indonesia; 29 wanita Vietnam; lapan wanita China; seorang wanita Kemboja dan seorang wanita Myanmar.

Mereka katanya, gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah dan telah tamat tempoh pas atau permit kerja.

Semua tangkapan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/93, katanya.

“Ops Noda akan diteruskan bersama-sama jabatan berkenaan dari semasa ke semasa bagi membanteras gejala sosial terutamanya melibatkan PATI selain memastikan bandar raya ini bebas daripada gejala tidak bermoral,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes jenayah atau atau perkara menyalahi undang-undang sekitar bandar raya ini boleh menyalurkan maklumat menerusi talian hotline IPD itu 07-2182323. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *