JOHOR BAHRU – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pulai mahu tindakan dikenakan terhadap bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian yang menyokong calon Bebas berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Perak baru-baru ini.

Ketua Bahagian Bersatu Pulai, Ya’cob Atan berkata, pihaknya akan mengemuka aduan kepada lembaga disiplin parti.

“Tindakan Osman menentang calon yang disokong Bersatu boleh menyebabkan keahliannya dalam parti terhenti mengikut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu sekiranya dakwaan ke atas Osman ini betul.

“Kami akan membuat laporan rasmi kepada lembaga disiplin minggu depan setelah mesyuarat bahagian pada 3 September ini untuk membincangkan masalah ini dan langkah selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Semarak Kemerdekaan di Pejabat Bersatu Pulai, Bandar Baru Uda di sini hari ini.

Semasa PRK DUN Slim baru-baru ini, Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas menyampaikan ucapan di sebuah restoran dan menyatakan bahawa Bersatu sudah beralih arah daripada hala tuju penubuhan awalnya.

Video Osman berucap dengan durasi 1 minit 15 saat itu menjadi tular dalam media sosial ketika berkempen membantu calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Semalam, Ketua Bersatu Johor, Mazlan Bujang menyerahkan perkara itu kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuat keputusan.

Ya’cob yang juga Ketua Penerangan Bersatu Johor mengingatkan Osman bahawa tanpa parti, beliau tidak akan menjadi wakil rakyat dalam Parlimen Pulai.

“Ini kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas berada di bawah Parlimen Pulai, kami di peringkat bahagian turut menerima tempiasnya akibat perbuatan beliau,” katanya.

Ya’cob berkata, tindakan Osman akan menyebabkannya berkongsi nasib yang sama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan lima Ahli Parlimen Bersatu lain yang dihentikan keahliannya kerana duduk di tempat pembangkang dalam Dewan Rakyat.

Ketika diminta mengulas mengenai kesan terhadap kedudukan kerajaan negeri jika keahlian Osman terhenti, Ya’cob menjelaskan perkara itu tidak menjejaskan majoriti mudah yang diperoleh Perikatan Nasional (PN) di negeri ini.

Kerajaan PN Johor ketika ini mempunyai majoriti tipis iaitu 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Pakatan Harapan (PH) mempunyai 27 kerusi DUN.

PN menerusi UMNO mempunyai 14 kerusi, Bersatu (11), MIC (2), PAS (satu) dan Bebas (1) sementara PH pula melalui DAP (14), Amanah (9) dan PKR (4). – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *