#SOULofJOHOR – @POLISJOHOR TUMPASKAN GENG AH POH DAN GENG HANDSOME

JOHOR BAHRU: Polis Johor melancarkan beberapa siri operasi khas terhadap dua sindiket pengedaran dadah membabitkan 15 serbuan di sekitar kawasan Johor Bahru, Seri Alam, Kota Tinggi dan Pontian, antara 2 Jun hingga 9 Jun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sindiket pertama yang berjaya ditumpaskan dikenali Geng Ah Poh yang dianggotai 12 individu termasuk sindiket yang diketuai seorang lelaki warga Singapura berusia 43 tahun.

“Ketua sindiket berkenaan membekalkan syabu seberat 1 kilogram (KG) setiap 2 hari kepada tokan dadah yang beroperasi di sekitar Johor Bahru, Pontian dan Plentong.

“Sindiket kedua pula yang tumpas dikenali sebagai Geng Handsome yang sindiket itu diketuai seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun yang dikenali sebagai ‘Handsome’,”katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Menurut beliau, sindiket itu dianggotai 6 individu termasuk isteri kepada ketua sindiket itu, selain ketua sindiket itu dipercayai mula aktif dalam pengedaran dadah sejak 2002 dan pernah enam kali ditahan.

“Dia menggunakan premis perniagaan lampu perhiasaan yang beroperasi sejak 8 tahun lalu di Johor Bahru sebagai helah kepada kegiatan berkenaan, selain turut ditahan adalah anggota sindiket dikenali sebagai ‘Professor’ yang bertanggungjawab menyukat dan membungkus syabu sebelum diedarkan kepada tokan di sekitar Johor Bahru, Seri Alam dan Kota Tinggi,”

“Hasil serbuan berkenaan, seramai 18 individu berjaya ditahan bersama rampasan dadah dan mereka terdiri daripada 11 lelaki tempatan, seorang lelaki warga Singapura dan enam wanita tempatan berusia antara 25 hingga 50 tahun, katanya.

Tambah Ayob, kesemua anggota kedua-dua sindiket ini mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah, selain hasil saringan air kencing mendapati 16 daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Polis berjaya membuat rampasan dadah dengan nilai keseluruhan RM49,781, selain merampas sepucuk pistol tiruan bertulis ‘Blow F92’ dan 29 butir peluru, malah turut menyita satu barangan kemas anggaran nilai RM8,000, 15 kenderaan anggaran nilai RM834,000 dan wang tunai berjumlah RM71,045.

“Polis juga menyita 18 akaun bank tempatan milik lapan individu dipercayai daripada hasil kegiatan pengedaran dadah berjumlah RM117,354.12,” katanya.

Menurut Ayob, kesemua suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

“Bermula 1 Januari hingga 13 Jun lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor berjaya membuat tangkapan seramai 7,739 individu atas pelbagai kesalahan dadah dan dalam tempoh sama berjaya membuat rampasan dadah sebanyak 866.65 kilogram.

“Keseluruhan dadah yang dirampas adalah bernilai RM17.47 juta, selain turut disita adalah harta bernilai RM7.73 juta,” katanya.

(Visited 18 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: