Johor Bahru: Polis Johor mencari seorang lelaki warga Singapura bagi kes penghantaran dadah menggunakan dron ke republik negara itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lelaki berusia 40 tahun yang dikenali sebagai Boy Setan itu masih berada di Johor Bahru.

“Suspek dipercayai membuat penghantaran dadah ke Keranji dari Dataran Bandaraya Johor Bahru pada waktu petang.

“Suspek dikenali sebagai ‘Boy Setan’ adalah warganegara Singapura yang telah berada di negara ini sejak tiga bulan lalu dan pergerakan suspek terhad sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Suspek datang sekali sekala untuk operasi penghantaran dadah ke Singapura dan dia sememangnya dikehendaki Polis Singapura serta ini adalah kali pertama kes seumpama ini,”katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya percaya ianya bukan sindiket, tetapi penyeludupan secara kecilan dengan menggunakan dron bawah kapasiti 20 kilogram kerana jika dron lebih 20 kilogram perlu mendapat kebenaran penerbangan dari Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

“Sabtu lepas, 2 lelaki Singapura ditahan kerana menggunakan dron untuk menyeludup dadah ke Singapura dari Malaysia, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Biro Narkotik Pusat (CNB).

“Data penerbangan yang diambil daripada telefon salah seorang suspek menunjukkan bahawa pesawat tanpa pemandu itu terbang dari Kranji ke Johor Bahru dan kembali lagi ke Kranji, katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *